Salam kalian. Harap berbahagia di samping keluarga walaupun ada ketikanya keadaan sebaliknya berlaku. Mungkin salah kita, mungkin salah mereka atau kadang-kadang tiada siapa yang bersalah. Fikir-fikirkanlah. Mungkin juga keadaan dan takdir yang bersalah. Namun, siapa kita untuk menidakkan setiap takdir yang telah tersurat mahupun tersirat. Suka atau duka, perkara tersebut tetap berlaku dan akan berlaku. Hanya masa yang menjadi penentu. Hidup dan mati, berjaya dan gagal, gembira mahupun sedih. Mungkin sebentar lagi, esok, lusa, tulat, minggu depan ataupun tahun depan. Semuanya akan dihadapi hari demi hari. Terpulanglah kepada kita untuk menerimanya atau sebaliknya. Kadang kala mungkin pengalaman akan menjadi sahabat kita yang paling berguna di saat takdir menimpa kita. Gunakanlah ‘dia’.
Nampaknya 2010 sudah hampir ke penghujungnya dan bakal meninggalkan kita dengan seribu satu kenangan mahupun persoalan yang tersemat kemas dalam memori. Kini, terpulanglah kepada kita sama ada mahu atau tidak mahu belajar daripada setiap perkara yang telah dilalui. Atau kita sekadar membiarkan sahaja setiap perkara tersebut berlalu ditiup angin penyesalan. Tahun penuh peristiwa. Tahun pengubah hidup. Tahun suka duka. Tahun penuh pengalaman. Walau apa jua makna 2010 bagi anda, tahun 2010 tetap mempunyai ceritanya yang tersendiri. Selamat tinggal 2010.
Dalam masa yang sama, 2011 juga bakal menjelmakan dirinya dengan satu lagi episod kehidupan. Ia seolah-olah memberi sebuah lagi peluang dan kesempatan bagi kita yang telah kehilangan peluang tersebut atau ingin menebus kembalinya. Sudah tentu usaha ini bukan sesuatu yang mudah. Pelbagai halangan dan cabaran yang lebih getir bakal menimpa. Mungkin ada juga antara kita yang mula merangka azam tahun baru yang bakal menjanjikan suatu perubahan yang baik atau sebaliknya. Merancang sememangnya lebih mudah daripada melakukan. Namun, kita juga perlu percaya bahawa tanpa perancangan, tidak mungkin sesuatu hasil itu dapat dicapai. Sedikit rasional, pengalaman dan kesungguhan akan dapat memungkinkan sesuatu hasrat itu dicapai.
-faiq.502-
p/s- Selamat pra tahun baru guys. semoga berjaya semua. (sori la kalau korang menyampah baca..hehe.. ade mcm sasterawan tak?? Semenjak cuti ni, aku mmg jiwang sikit.. phm2 je la eh)
No comments:
Post a Comment